7.12.12

cerita binatang - binatang

Gajah sama gajah bergusti, pelanduk mati ditengah - tengah.

Gajah ada nama ; Gajah Kuat dan Gajah Hebat.

Nama pun Gajah. Stabil menumpu daya pada ke-empat - empat kaki; Yang besar - besar.
Lagi stabil bila kencing; 5 kaki! 2 depan, 3 belakang. Jantan!

Hebatnya Gajah!

Pelanduk ada apa?
Pelanduk hanya ada nama.Nama timangan; Maha Lemah.

Pelanduk tunduk.

Hanya penagih inspirasi hebatnya Gajah - Gajah.
Hanya ada cita terpendam. Mahu jadi seagung Gajah - Gajah.

Tapi Gajah Mana?
Gajah Kuat atau Gajah Hebat?

Woi pelanduk. Jadi pengikut aku.Boleh jadi kuat.
Hoi pelanduk.Lebih baik ikut aku.Aku hebat.

Mahu ikut Gajah mana?

Itu persoalan yang menjadikan pelanduk yang sejak azali Maha Lemah. Lemah!

Pelanduk makin lemah dan waktu lemah itu dia keseekoran.

Sebab kawan baik pelanduk;  Kancil yang sinonimnya Maha Bijak. Menghilang diri.
Dengar khabarnya mahu bina suasana hidup baru. Mahu bersemayam di kayangan dengar ceritanya.

Biasalah. Kalau bijak tak sombong.Itu pelik.
Pentingkan diri sendiri. Itu pun tak pelik.

Ah pedulikan.

Pelanduk hanya perlu jadi kuat.
Terus menjadi penagih inspirasi Gajah - Gajah. Tak kisah yang mana - mana. Yang Hebat atau Yang Kuat.

Dan selamanya menjadi; tetap seekor pelanduk.

Dan yang penting; Jangan jadi seperti Kancil.

Bijak tanpa rasional.











p/s : Oh cuma cerita tentang situasi hidup sekarang dalam suasana kebinatangan. Aku kan Tabib Haiwan.


22.11.12

bila tak tahu itu lebih baik dari tahu

Apa yang aku buat dan telah buat.
Mungkin agak kebudak - budakan. Bagi aku, ia menanda sebuah kedewasaan.

Jatuh dan bangun kembali. Jatuh lagi dan bangun lagi kembali.

Dan mulai sedar yang ;

Aku tak perlu jatuh lagi; hanya perlu terus bangun dan elak dari jatuh.

Dewasa bukan?


Sebab bila tahu itu ini.
Sakit sana sini.
Gundah tak sudah.
Tak keruan.

Jadi aku fikir yang ; lebih baik untuk tidak tahu dan menahu.

Jadi aku diam.
Kali ini aku diam.Dan betul - betul akan diam.

Perbuatlah apa - apa yang rasa perlu semahu.

Sebab aku tak tahu dan tak mahu ambil tahu.
Tak perlu ambil tahu dan malas ambil tahu.

Cuma yang aku tahu ; Tahu itu menyakitkan.

Lalu aku tak tahu.


Apapun persoalan - persoalan dilontar nanti.

Pergi waktu tatkala rasa itu sangat susah?
Selalu bagi rasa susah dan gundah?
Mana janji yang dulu - dulu?
Iri hati dan ego melampau?
Kenapa begitu begini?


Cermin!
Monolog bersama cermin itu lebih membantu. Lebih perlu.

Sebab cermin ; tak memaki - hamun.
Sebab jawapan itu ada pada cerminan.


Moganya satu hari nanti ;

Mereka ada dipijakan kaki di mana aku berpijak sekarang.

Mereka akan lebih faham.

Mereka mampu rasa apa aku rasa.


Dan kalau boleh. Kalau mampu ; senyum lah.

Dan yang pasti, tak diperlu lagi cermin itu.




Aku masih ada hidup; yang perlu dicorak.

























p/s : Komunikasi dua hala itu kadang - kadang tidak perlu.Bila ego maha tinggi menutup khilaf sendiri; tak bertempat.

Terima kasih ; cermin.



9.11.12

di capaian cita

5 tahun perjalanan capai cita penuh cerita. Macam - macam rasa.

Terima kasih.

Untuk mereka yang sentiasa ada di sisi. Mencorak kehidupan aku hingga hari ini.

Mak dan Abah ; pendorong dan pendoa yang tak pernah putus.
Adik - beradik yang menjadikan aku sentiasa mahu jadi lebih baik.
Tenaga pengajar yang penuh sabar mengajar.
Kawan - kawan satu sampan satu kepala.


Dr. Muhd Taqiyudin Bin Zainal Ulum ; nama penuh aku kini.

Alhamdulillah.

Tuhan Yang Satu.







p/s : 13/10/2012 ; Tarikh bergraduasi.

2.11.12

perspektif

Aku mencuba tentang apa yang dipanggil berani berubah.

Bila fikir ubah ini hilang itu ini.
Bila fikir ubah itu hilang ini itu.

Sanjungan sepatah dua kata ;

"Perspektif ; positif dan negatif, ada dalam ini, sambil menunjuk bulatan dihuni rambut dan tempat banyaknya letakan pancaindera ; kepala.

Ya.Kepala.
Bila lihat sesuatu ; apapun ia, perspektif awal itu penting.Terlalu dan amat.
Bila yang akarnya positif.Sampai pucuknya positif.Dan juga sebaliknya; kalau negatif."

Ia bukan kata - kata biasa. Juga  bukan dari orang kebiasaan yang biasa - biasa.

Jadi mula saat ini.

Positif.

Awal - awal.

Tentang apapun nanti yang akan hilang.
Tentang apa-apa nanti yang bakal datang.

Sekurangnya.

Aku berani menterjemah ;

Siapa aku tentang mahu aku jadi sebenarnya.

Jadi diri sendiri.

Bukan itu lebih dari baik?

IA.











p/s : Aku tulis ini supaya bilamana aku goyah nanti.Tiada lagi suara itu ; tapi ada tulisan ini.

28.9.12

layang layang putus tali

Layang - layang putus tali ; yang hilang arah menjadi bawaan angin.

Ke mana?

Tanya sama angin.

Bila hidup sendiri jadi persoalan.
Dan jawapan itu bukan dari yang sepatutnya.

Macam mana nak kembali terbang?

Jatuh yang paling bawah.Selami realiti yang layang - layang perlu teraju perlu tali.Jadikan angin sebagai hanya yang membantu kelangsungan dan kuat pada terbangan.

Dan terbang kembali.

Layang - layang mahu ajar yang ;

Hidup perlu kerja keras dari bawah.
Hidup perlu bimbingan ; tali dan teraju.

Kalau layang - layang itu aku.
Kalau teraju dan tali itu iman dan petunjuk Dia.
Kalau angin itu cabaran mendatang.


Layang - layang putus tali itu adalah benarnya ; aku.

Sedang jatuh.
Sedang mengimpi tali yang utuh.








Tuhan.

Bantu aku.






p/s : Layang-layang yang lusuh tapi terbang tetap atau layang - layang yang agam tapi sedang menjunam.









23.9.12

aku yang kurang faham

Aku adalah seorang yang kurang faham. Dan kayu ukur tentang kefahaman itu dibanding dengan manusia - manusia keliling ;

Aku kurang faham kerana ; tak menjadi seperti mereka.

Aku kurang faham kerana ; tak buat apa yang mereka perbuat.

Aku kurang faham kerana ; kenapa tak faham?

Kadang - kadang aku hanya perlu jadi cermin.
Pantulkan kembali persoalan - persoalan.

Biarkan mereka jawab sendiri.

Dan ada satu persoalan ;

Adakah aku sangat terlalu selalu difaham?






p/s : Manusia rakus meminta, daif memberi.








31.8.12

Te-ME-rloh

Ada pepatah dari bahasa penjajah ;  "Actions speak louder than words"

Hari ini baru ada masa untuk kata - kata itu diterjemah dengan perbuatan.

Dengan sedikit berani.
Campur sama naluri untuk memiliki.
Juga sokongan kawan - kawan.

Akhirnya berpijak nyata di bumi Temerloh ;

Bandar ikan patin, titik tengah semenanjung.

Untuk aku ;  ia bukanlah sekadar dan hanya nama tempat.

Ada cita terselindung disebalik.

Yang terpendam.
Yang sekarang, sedikit - sedikit mana mampu diluah dengan perlakuan.

Masakan tak tahu yang ;

Sikit - sikit.Lama - lama jadi bukit.

Bila sudah di puncak bukit.

Aku harap sinar mentari penuh di celah bukit itu adalah ; redha DIA.

Itu impian.







"Te-ME-rloh"







Ole - ole yang sempat.
















p/s : Kelangsungan kisah selepas ini bukan lagi kerja seorang - seorang.

Sebab MAHU ; adalah saling antara.

17.8.12

cerita dua bulan

Hari ini mula bercuti ; cuti raya.

Kurang lebih dua bulan di kehidupan bekerjaya. Satu bulan di bulan puasa.

Cabaran yang mendewasa ; Tabib Haiwan di bulan puasa.

Kalau umur panjang. Ramadhan akan datang mahu pastikan ia lebih bermakna ; kalau Tuhan bagi izin.
Adaptasi dan imunisasi analogi kurang lebih.

Sekarang ini hanya mahu dan mampu menghayati sisa saki - baki yang masih ada.

MUT.CRT ; Masa Untuk Tuhan. Cari Redha Tuhan.

Ia lebih dari singkatan.

Moga - moga.





Tabib haiwan di bulan puasa.








P/s : Taubat bukan kerja satu hari.

2.8.12

kadang - kadang tentang janji manusia

Kadang - kadang hati ini girang.

Kadang - kadang pun gundah.

Kadang - kadang.

Susah mungkin nak jaga hati ini.

Tapi aku juga susah.

Untuk buat hati mereka - mereka senang.Rasa aman. Dengan janji yang aku sedang letakkan usaha - usaha ke arah itu.

Entah.

Mungkin bagi mereka ; cukup susah.

Alah. Biasalah.

Janji manusia telus mana?

Padan muka.

Janji Tuhan kau tolak tepi letak kat kaki.






p/s : Hati sakit bila baca perkataan - perkataan yang macam aku ini tidak tahu membaca dan menginterpretasi dan yang penting ; tiada perasaan.

Pergilah.

Bermaung dengan kedegilan yang dibiar sebati ; pilihan sendiri.

Air liur dah kering.

27.7.12

di kehidupan dewasa

Berpuasalah.

Bukan hanya dari makan dan minum.

Semua - semua.

Hujung rambut sampai hujung kaki.
Juga yang tersimpan, yang terkandung dalam ; Hati
Yang tak terlihat ; Nafsu

Susah.

Sebab itu lahir picisan ini.

Cuma menzahir sebuah kepayahan.

Payah.

Suasana keliling menambah parah.

Parah ;

Ramadhan di kehidupan dewasa.













p/s : Manusia berubah dan suka perubahan.Kadang - kadang kurang suka pada perubahan ; Yang bukan - bukan.Yang tampak dewasa.Tapi sebenarnya.Tiada komen.

Fikir sendiri.

Kan sudah dewasa.




20.7.12

aku di kehidupan baru

3 minggu kurang lebih menjalani kehidupan bekerjaya. Ada banyak yang mahu dijadikan picisan.Tapi masa ; sekangkang kera.

Sekarang curi masa. Hari Jumaat. Hari cuti untuk kehidupan baru

Mereka kata takde life.
Mereka kata nak enjoy dulu.

Masing - masing.

Aku rasa ini kehidupan.
Dan mula ada satu rasa ; minat.

Moga rasa ini kekal.Dengan sama rasa cekal.

Sibuk bekerja sampai lupa.Esok mula puasa.

Nak ambil masa.Nak minta satu ; Maaf.

Untuk semua - semua rasa yang gundah.Untuk kata - kata yang kurang indah. Untuk laku - laku yang tak berperikelakuan.

Kepada kawan - kawan yang aku suka.
Kepada kawan - kawan satu Tuhan.

Salam Ramadhan!




 Tempat hari - hari hidup baru.















p/s :
Dulu kuliah waktu puasa.
Sekarang kerja waktu puasa.

Apa rasa?

Rasa membesar.

Dengan hati sama berbisik.

"Berkati penghidupan aku.Apapun kehidupan aku dalam. Tuhan"




27.6.12

kosong dan satu

Malam pertama. 

Asbab suruhan dari yang melahirkan.
Badan itu dibawa duduk di satu tempat yang semakin asing dalam jadual hari - hari hidup. Duduk sendiri - sendiri di satu sudut. Ada gemaan bunyi perkataan - perkataan tapi cuma ada satu rasa ; kosong.

Kosong. Macam tak ada apa - apa. Macam curah air atas daun keladi. Kalau daun keladi itu dibagaikan hati. Dan air itu minuman untuk menyejuk hati yang bekerja keras tentang perasaan.

Itulah rasa malam pertama.

Malam kedua.

Kebetulan. Suka - suka dari tak buat apa - apa. Sekali lagi membawa badan yang semakin asing di tempat yang lagi masih asing.

Kali ini ; Satu.

Penambahan sedikit kepada kosong semalam.

Kali ini ada bunyi.Juga sama satu rasa yang menggugat dan menggetar.
Daun keladi mula menerima kehadiran air. Dan air itu ditelan dihirup berlebih dan ia mengalir.
Dengan satu pengharapan yang sangat ;


Ya Allah!

Ampunkan dosa aku.


Tertunduk.

Mengesat yang sedang mengalir.











p/s : Hati yang mati asbab laku - laku yang masih mimik kejahilan.

Kejahilan yang berulang. Lama - lama sebati. Lama - lama jadi norma biasa.

Sampai lupa yang nilai dosa ; selamanya sama. 



26.6.12

cerita - cerita tercapai cita #3

Hari ini baru benar - benar lapang.

Satu hari mengemas barang.Mengosong tempat berdiam 5 tahun.Buang itu ini.Simpan yang mana patut.Dihulur mana - mana yang perlu.

Dua tiga hari diluang untuk mereka - mereka yang aku kisah dan kisah tentang aku ;Underground BBQ. Ringkas tapi cukup.Cukup indah untuk hasil telaah bersama 5 tahun.

Aku pasti rindu mereka - mereka. Punya title yang sama.Tapi haluan berbeza-beza.

Moga kalian berjaya!

Malam ni  mula ada masa bagi jawapan dan pilihan - pilihan untuk satu soalan ;

Apa aku nak buat lepas ni?

Berlegar - legar tetap satu soalan. Kepelbagaian pilihan jawapan. Mereka masih tak secocok.


Yang seakan cocok ; Bekerja.

Kurang lebih aplikasi untuk ilmu - ilmu yang maha cetek.

Ini akan jadi pengalaman pertama bekerja.Teruja kurang lebih Malam Pertama.

Sebab lepas SPM rasa tak cukup umur.
Sebab lepas Matrikulasi rasa teruja nak masuk "U".

Haram.

Sebenarnya malas.

Yang perlu secocok ; Sambung menelaah.

Kalau ada ruang dan peluang. Sedang mencari - cari lubang.

Takpelah.

Perlahan - perlahan.





BBQ Bawah Tanah








p/s : Bangun pagi akhir-akhir ini penuh dengan monolog. "Aku dah jadi doktor?".

Tak percaya.

Sambung tidur.










25.6.12

cerita - cerita tercapai cita #2

 Clinical Conference : Semester I




 Clinical Conference : Semester II



Final Year Project (FYP)



Bila toleh ke belakang dan fikir sejenak. Aku dah lalu semua ni?

Memori - memori itu sama bermain ;

Watak budak-muka-nervous berdiri seorang - seorang di depan. Cakap yang sembarang.Terkumat - kamit dan berbelit.Lupa skrip.Terkedu dan buat - buat fikir jawapan tentang pertanyaan. 
Apapun jadi. Diakhirnya ada tepukan tangan.

Hah.

Kenangan.









p/s : Alhamdulillah





cerita - cerita tercapai cita #1

(Usaha - usaha)


+

(Rehat yang cukup)

 +

(Rapatkan tangan)


 =

(Hasil)




Sebenarnya panjang dan penuh lelah.Tapi Yuna kata setiap gambar ada cerita.Jadi tak perlu tulis panjang - panjang.

Apapun.

Terima kasih :

  • Tuhan Yang Satu.
  • Mak & Abah & Beradik satu susuan : Untuk doa dan dorongan yang tak putus - putus
  • Kawan - kawan penconteng papan putih : Dr. Annas, Ismasyahir, Ahmad Zulhizri, Ahmad Fauzan, Benny Gabriel, Jacky.
  • NJA : Pendorong dan peminjam telinga yang setia.Penjaga pada makan dan minum.
  • Kawan - kawan yang aku suka.
  • Kawan - kawan satu sampan.


Tahniah!

25.5.12

sisa - sisa hari terakhir

Dahi itu kembali diletak pada tempat yang paling bawah ; pijakan kaki - kaki.
Memang pantas.Itu lumrah hamba.Itu jiwa kehambaan.

Mungkin ada suara - suara sinis.


"Susah baru nak ingat Tuhan"

Sekurangnya masih ada rasa kebergantungan.
Sekurangnya masih ada rasa yakin pada satu kuasa.

"Jadi.Maka jadi"

Sempat sisa - sisa hari terakhir.

Tangan ini dirapatkan.

Ampunkan khilaf aku.
Juga mereka yang percaya.
Dan mereka yang percaya tapi tidak punya daya.

Dan juga bantu aku dan mereka.
Dalam serabut mengapai cita.

Kerana sekurangnya.

Aku dan mereka.

Masih ada dan punya percaya ;


Tuhan Yang Satu.




Mereka




p/s : 16 hari - hari terakhir.













26.4.12

Tulisan untuk awak

Tak berapa nak lapang.

Terpaksa memalaskan diri untuk menulis picisan - picisan.
Tapi kena kurangkan malas menelaah tulisan - tulisan yang sudah tiada dara dan yang telah dilupakan.

Apapun nak ambil sikit masa.

Nak menghargai.
Seseorang dan hanya seorang.

Sebab hari ini hari dia lahir.Kalau kelahiran itu berulang - ulang.Dah 23 kali dia lahir.


Selamat Ulang Tahun Kelahiran yang ke-23 ; Awak.

Itu je.

Tandus idea nak tulis panjang - panjang.
Yang panjang cuma ; harapan.

Takpelah.Perlahan - lahan.
Semoga kau panjang umur dan boleh tolong capai dan gapai kepanjangan harapan aku.

Apapun.

Terima kasih.

Bagi plot baru pada jalan cerita hidup aku.
Bagi kisah.
Bagi rasa dihargai.
Bagi.
Semua - semua yang indah.

Teruskan kelangsungan pada senyuman.

Sebab bagi aku.

Itu yang paling indah.

Dan sebab aku tak tahu apa jadi kat depan nanti.
Sebab aku bukan Tuhan.
Sebab aku bukan penulis masa depan.

Kau.

Jagalah diri baik - baik.


Ok.Dah siap ; Tulisan untuk awak.

Boleh la ni.








p/s :

Aku ada.

Kawan - kawan yang aku suka.
Kawan - kawan satu sampan.

Dan.

Kawan kepada hati.









12.4.12

hari hari hidup aku

Pada satu hari.

Dua hari.
Tiga hari.

Hari - hari.

Ada seorang lelaki.

Sebenarnya tiada cerita apa.Cuba - cuba nak cari idea.Salah satu cara aku cari idea nak menulis dan menghasil picisan adalah dengan menekan papan kunci warna putih ini membabi buta tanpa hala tuju.

Selalunya jadi cerita.

Tapi tak malam ni.
Bukan hari aku kot.

Tapikan hari - hari hidup aku.

Selalu terselit dia.
Dia jadi cerita.Bagi jalan cerita ; hari - hari hidup aku.

Tak selalu indah.Tak selalu gundah.

Hidup.

Kan memang macam tu.

Sekarang aku rasa dah jadi cerita dah.
Tajuk dia ; Hari - hari hidup aku.

Blogger ketandusan idea.
Twitter tak cukup ruang nak menyampai cerita.
Facebook tu sebenarnya Emobook.

Aku ni kadang - kadang katak.
Lompat sana sini.

Tapi kat sini.

Aku paling bahagia.

Ala diktator pada perkataan - perkataan.





p/s : Selamat ulangtahun kelahiran;  kakak kepada hari - hari hidup aku. Juga buat kawan baik kepada hari - hari hidup aku.

10.4.12

Separuh masa pertama

Pada setengah jalan dalam perjalanan terakhir.Separuh masa pertama, budak - budak kaki bola kata.

Berehat sebentar melepas lelah.Walau sebenarnya bila fikir depan sikit.

Mana ada masa nak rehat - rehat derp!

2 bulan tinggal kurang lebih.
Dan yang nak ditelan dan dikemam ; 5 tahun punya cerita.
Dan yang mustahak.

Apapun tak start lagi!

Senior - senior boleh.
Aku takkan tak boleh?

Monolog menaik semangat sendiri.Sendiri - sendiri.

Dan.

Terima kasih.

Junior- junior aku.Yang dapat aku sebagai senior.Agak malang.Tapi bagi aku.Kalian adalah anugerah.

Serius tahan gelak.

Apapun.

Maaf.Untuk khilaf laku dan kata.Aku dah bagi dan cuba yang terbaik untuk buat sepertimana senior aku dulu, buat kat aku.

Ah layan perasaan apa petang - petang ni.

Nak mula menelaah!

Dari 2 minggu lepas aku cakap benda ni.

Ambil nota.Berkiblatkan laptop.


One Piece dulu lah.




Signature terakhir sebagai student (Benny, 2012). 
Terima kasih Atas Sana.Bagi badan yang sihat untuk penuhi ruang - ruang kedatangan.


Bila takde kerja.Kacau kawan buat kerja.





p/s : COMPREHENSIVE adalah peperiksaan terbesar sebelum layak bergelar tabib haiwan.



9.4.12

Entahlah

Hangat - hangat tahi ayam.

Ah.Jadilah tahi apa pun.Tahi babi kalau dijaga diperapi kehangatan.Tetap hangat.

Kalau hangat itu semangat.

Tak kisah babi manapun.
Lebih baik daripada ayam.Yang hangat - hangat sekejap.

Bukan suruh jadi babi.
Bukan suruh maki ayam.

Cuma suruh.

Jadi manusia.Ambil contoh daripada babi dan ayam.

Semalam hangat.
Hari ini suam.
Esok sejuk.
Lusa beku.

Tentang hati yang berubah-ubah.

Mahu terus hangat damba cinta Dia.
Tapi perangai macam ayam.Tahi ayam.

Hangat - hangat.

Entahlah.






p/s : Sepi memandu pulang sendiri.Rasa kosong.Terbiar.

Manusia jenis apa aku ni?

Monolog menunggu warna merah bertukar hijau.

Bila hijau.Terpaksa jalan.Walau masih takde jawapan.

Kehidupan nak ajar yang apapun jadi.Hidup tetap perlu ke depan.

Selemah ini?

Entahlah.



1.4.12

Kebinatangan sebuah rasa

Rasa - rasa macam binatang.

Memori - memori berwarna yang tapinya hitam.Mencelah - celah pada minda yang kurang berfikir akhir-akhir ini.

Airmata yang menitis takkkan pernah cukup untuk dihadiah syurga.Cukuplah harapnya.Untuk sebuah ampun dan kisah.

Bila nanti sendiri.
Bila nanti rasa sepi.

Cinta kan fitrah.

Tapi yang indah kalau bukan dari Yang Maha Indah.

Gundah.

Aku percaya ini.

Dan tetapkan percaya ini.
Dan jangan biarkan aku sendiri.

Tolong aku.

Tuhan.


-Si Bangsat-

25.3.12

Ada masa sikit

Sebulan tak menulis.Idea melimpah.Masa sekangkang kera.

Berhempas pulas menyiap dan melengkap jalan cerita hidup; pelajar tahun akhir.Semester akhir.

Macam - macam aku rasa.

Makin lama makin jauh.Comprehensive makin dekat.

Dan hari ini.

Bangun pagi dan bermonolog.

Nak ada hidup baru.Taknak malas - malas. Kurang dan berhenti membuat onar dan palat.

Sudah - sudahlah tu Taq.

Kalau ada buku Menuju PAS baru.

Kenapa tak; Menuju TAQ baru?

TAQ tak perlu baru.TAQ cuma perlu jadi macam dulu.

Macam dulu -dulu.


Hasil titik peluh dua bulan kurang lebih.Terima kasih pada yang bantu dan jadi bahu.





1.3.12

#fyp bernafas

Fuh.
Alhamdulillah.
Projek Ilmiah Tahun Akhir dah siap dipersembah.6 minggu yang bertungkus lumus.Serabut dan serabai.Dan segala bagai.

Rasa apa?

Macam - macam rasa.

Suka dan gembira.Puas ada terkilan.

Takpelah.

Apapun.Fokus yang kat depan.Sikit lagi.

Terima kasih yang banyak.

Yang bantu.Yang jadi bahu.

Langsung atau tidak.







Guys.Great job!Am really proud of you all.If I leave the zoo industry, at least i have left my legacy with you guys.
(Choy, 2011)







p/s : Menyiap thesis.

Merajuk pun perlu bertempat.

Kerana nila setitik.Rosak susu sebelanga.
Kalau nila itu sebuah rajuk dan susu itu segunung faham.

Ada nilai?

Laku sekarang adalah kesan kepada nilai.

12.2.12

maaf kalau

Maaf.

Kalau hadir aku hanya membungkam suram.Menyepi sepi yang tak bertepi.Lagi sepi.

Kalau dulu warna - warni.
Kini hanya satu warna ; Hitam.

Kalau dulu bumi itu tampaknya luas untuk pijakan kaki dan mata yang memandang.
Kini  meniti titian - titian sempit dan buta walau siang.

Kalau dulu gembira datang bergolek.
Kini mengemis, merangkak - rangkak.Hanya untuk sedikit suka.Berduyun - duyun yang duka.

Maaf.

Aku tahu silap asbab sikap aku.Kesannya pada kalian.Kamu.

Satu hari.

Pasti nanti giliran aku.

Doakan aku kuat.

Sepertimana kalian dan kamu telah kuat.



p/s : Maaf yang sangat.

#fyp lagi - lagi bersiap

Bersiap - siap kali yang ketiga.Yang terakhir untuk cerita #fyp.

Perjalanan (291 km dan 3 jam 15 minit dengan satu perhentian) x 6

Alah 3 kredit je pun.Nak buat susah - susah buat apa?

Lemah semangat.

Ya.3 kredit.Tapi hanya sekali seumur hidup.Buat yang terbaik.Tak rugi apapun.Kan?

Kau rasa ada semangat?

Bagus.

Bila susah.Aku tahu mereka - mereka juga sedang susah.

Kawan - kawan satu sampan.
Apapun jadi.

Teruskan mendayung.

Sampai dipersisir nanti.

Kita senyum.

Sama - sama.



p/s : Perjalanan mengapai cita.

11.2.12

saya dan mereka - mereka

Dalam kesibukan yang selirat..Masih ada liang ruang.Sekurangnya menghela nafas.Yang pendek.

Dan selalunya terimbau tentang mereka - mereka. 

Dan kalau saya itu adalah baik dan kebaikan.

Saya tiada makna..Tiada apa - apa.
Sebab mereka - mereka.

Sebab saya diberi ruang untuk bekerja tapi tidak menghuni.
Tapi mereka - mereka selalu diberi peluang kerja dan menjadi penghuni.

Bilamana saya bekerja.
Makin kuat bekerja.Makin jauh.Makin sempit.Makin sakit.

Saya dan mereka - mereka bekerja untuk hati.

Pekerja hati.


Bagi kekuatan.

Untuk menghapus mereka - mereka.
Dan terima kesan laku dari saya.







p/s : Ampunkan dosa aku Tuhan.


Aku jadi sebegini sebab aku kurang realistik?

Akustik memang indah.
Tiada gangguan dari bunyi - bunyi yang pelbagai.

Single itu selamanya akustik.

Cuma kurang realistik.
Sebab hati.

Tak selalu statik.









Demam FYP.Di mana - mana ada mereka.

5.2.12

Sejahtera untuk KAMU

Terpadam api biara Majusi.
Runtuhlah istana ; Kirsa Parsi.
Mekah diterangi cahaya putih.

Bait - bait lagu tentang mulianya sedari lahir.

Yang Terakhir tapi Yang Terutama ; Kekasih Dia.

Kuatkan kaki ini pada bekas - bekas peninggalanmu ; yang cumanya dua.
Tapi masih tak terikut - ikut.

Layaknya jasad ini menjadi bahan - bahan bakar api menjulang.

Tapi aku minta satu ; untuk dapat melihatmu.

Sekilas pandangan pun memadai.
Sebelum nantinya bermandi api.

Tak layak untuk ditolong nanti.

Cuma ada impian.Yang tak terlunas dengan perbuatan.
Cuma kalau boleh, Kau minta Dia ; ampunkan dosa - dosa aku.

Tak mampu nak menadah.Dirapatkan tangan ini.

Tangan ini kotor.

Selalu kotor.

Sejahtera untuk kamu.


Muhammad.








p/s  : Yang juga impian ; mendengar lunakan suaranya Nabi Daud  a.s.






28.1.12

#fyp bersiap - siap lagi

Bersiap - siap pada pemergian kali yang kedua.Utara dah macam rumah ketiga.

Tidak berseorangan kali ini.Ada teman meneman sampai 3/4 perjalanan.Juga 2 kura - kura kesayangan.

Nasib baik.

Kali yang pertama.
Sanggup menerus perjalanan membelah sunyi pagi walau mata hampir tertutup rapat.
Mahu sahaja berhenti merehatkan mata.Tapinya.

"KARAK"."Tok Malam"

Terbayang - bayang yang bukan - bukan. Kereta yang lalu lalang pun senggang.Sunyi.Gelap.
Sembarang!

Bingai punya cerita.

Siapa suruh tengok?

Penakut!

Diam.




Perjalanan kali yang pertama.



p/s : #PITA #fyp

Dan telinga dan mata dan hati perlu dipekakkan pada cerita - cerita manusia.Tak nak sedih - sedih lagi.Jalan hidup kau.Ada kat depan tu.Sekarang ni.Sikit lagi.

Fokus.

"Kau tak pernah keseorangan Taq."

Kalau nak buat baik senang.Takdelah neraka.



yang tinggi yang rendah

Dalam ini ada dua agenda yang selalu berlawan.Asbab tidak pernah dan takkan pernah sebulu.Takkan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.Tak boleh duduk semeja.

Kalau yang satu itu tinggi paras kepala ; tinggi.
Yang satu lagi pasti paras - paras lutut ; rendah.

Yang selalunya tinggi itu ; bahagia tapi selalu gundah.
Sebab ada fikir yang di lutut tak sepatutnya di lutut.Yang di lutut itu yang dituntut.

Yang selalu rendah kalau ada ditempat tinggi ; bahagia tak sudah walau susah.
Sebab itu janji yang pasti.

Meninggi yang tinggi ; hina bawah dari yang tak berakal.
Meninggi yang rendah ; mulia lebih dari ciptaan bersayap yang taat.

Dengan jasad berisi kudrat yang sekerat.
Cuba meninggi sebuah kerendahan.Yang kini maha rendah.

Tak mudah.

Siapapun tahu itu.

Dan tangan ini dirapatkan.

Moga Yang Maha membolak - balikkan hati itu menetap hati ini pada sebuah ketaatan dan percaya.

Selamat berjuang, Muhd Taqiyudin.

Walau realiti berseorangan.Tak sebenarnya.

Tu.

Atas Sana.






p/s : Yang Atas Sana dan yang atas tanah.Antara.

Agenda.
Apa yang tinggi?
Apa yang rendah?

Entah.
Kau kan manusia.Masakan tak tahu.

25.1.12

tunggu apa lagi

Signifikasi sebuah gelaran.Terkandung spesifikasi jelas ; sebab kenapa.
Tiada hujah yang pantas untuk ditegak untuk mengelak.

Sudah terang lagi bersuluh.

Kalau gunung itu hancur luluh ; takut
Dan kau masih tersenyum ; bodoh

Akal sejengkal yang dangkal.

Kau tak bodoh untuk jatuh.
Kau juga tak bingai untuk menilai.

Tapi bangang bila merenggang ; tali selamat.

Dan dijadi serakah sahabat azimat.
Bila langit itu biru.
Bila awan itu kelihatannya jingga.

Ya memang.
Kau pengalun bait sastera agung.
Kau peletak dahi pada pijakan kaki - kaki.

Tapi tak cukup dewasa.

Bila dunia kau agung setinggi kepala mendongak, separas kaki dijinjing.
Setinggi mampu.

Moga kau selalu sedar bila celik.
Juga sedar bila lalai dibuai.

Tunggu apa lagi.

Matahari terbit di ufuk barat?



p/s : Si Fasik



22.1.12

sedang bina kehidupan

Saban hari tiap hari.
Tekun.
Menyusun kehidupan dari cantuman kotak - kotak yang lain  bentuk dan warna.

Berbeza pada tiap hari kehidupan.

Habis hari terhasil satu bentuk.Satu warna.Dan dicantum.
Kadang tak sempat nak hayati hasil cantuman hari ini dengan yang semalam - semalam.

Sebab esok perlu dibentuk.

Mengharap bentuk yang realistik.
Mengharap warna yang artistik

Dengan usaha yang statik?

Macam duduk diam dan tunggu kiamat.
Mengharap nikmat.

Usahalah.

Bantu aku dalam usaha aku.

Tolong.

Bukan melolong.




p/s : Tolong faham pun jadi.

Projek Ilmiah Tahun Akhir #PITA

21.1.12

ombak

Kalau takut dilambung ombak.Janganlah berumah di tepi pantai.

Mula - mula rasa ombak itu hanya ombak.Ombak.Kuat mana? ; redah jela.Ombak je pun.

Tapi kalau berkali - kali.

Air yang menitis saban hari pun mampu menghias ukiran dalaman gua ; stalagmit yang bawah, stalagtit yang atas.

Cantik.

Tapi ombak bukan menitis.Menghempas. Dan yang sedang dihempas ; Rumah.

Andai analogi untuk rumah itu adalah aku.

Jadi apa?

Jadilah aku sekarang.

Yang dulu percaya boleh kuat.Boleh tahan."Apa je pun"

Sekarang.

Tiada rumah.
Lemas.
Terapung - apung tiada kisah dan endah.Peduli lagilah.

Macam kura - kura aku*






p/s :

Ada yang kurang senang tentang perubahan.
Mereka kurang faham perihal ombak semacam aku faham.

Mungkin.




*kura - kura aku.



15.1.12

#fyp bersiap - siap

Bersiap pada persiapan.Siap - siap dan campur semangat.

Pergi menyiap projek ilmiah tahun akhir.

Memandu berseorangan membelah sunyi pagi nanti.Membawa diri ke utara.
Berbulan madu dengan rasa syahdu ; berkhalwat ; seorang - seorang.

Doakan aku kawan - kawan.
Juga doa untuk kalian yang satu sampan.Satu kerja.

Yang terbaik.

Sama - sama jadi.



14.1.12

cerita kawan - kawan

Sembang 1


Kenapa tiba - tiba berubah?Tak nak cerita kat aku ke?

Takda apa cerita.Cuma dah rasa puas buat jahat.Tak tahu nak buat jahat apa lagi.Buat baik la pulak.

Sembang - sembang 3 pagi dalam perjalanan mencari tempat sujud.

Sejak aku kenal dia.5 tahun aku kenal dia.Dia adalah satu - satunya manusia yang aku kenal.Yang sensitif ; tentang keperluan kawan dia.

Kau nak sembahyang ke Taq.Nak aku boleh berhenti kat Petronas depan tu nanti.

Sangat sensitif.

Sembang 2

Kenapa dia benci aku Taq?Apa salah aku?

Sebab Tuhan sayang kau.
Taknak bagi kau sayang orang lain selain Dia waktu ni.


Terima kasih.Bagi ayat yang sedapkan hati aku.

Ini bukan ayat sedap hati la.Ini rasa dari kisah aku.
Aku dulu sama tempat kau ada sekarang.
Aku mengeluh itu ini.Keluh kesah sana sini.Sebab kejar sebuah rasa.


Percaya cakap aku.Kau tak payah sedih - sedih.Bersyukur sebaliknya.

Dia juga kenalan 5 tahun aku.Sejak kenal dia.Dia adalah manusia yang jadikan Tuhan kawan ; Kawan baik.


Ada teladan untuk mereka yang mahu kisah.Mereka manusia.Buat salah.Buat baik. Dan berpada - pada.Dan mereka ; kawan aku.

Sebab hidayah milik Dia bukan makna duduk diam bersimpuh dan menadah.

Usahalah.

Dan aku berhenti di sini.

Usaha aku.
Pandanglah dengan apapun persepsi.Tiada salah dan aku terima.

Aku tak puas buat jahat.Aku tak selalu buat baik.
Cuma rasa palat bila buat jahat.Dan tak sampai rasa sebuah baik bila buat baik.

Jangan benci aku.

Sebab aku tak benci kau.








10.1.12

10 Januari

Ia hari biasa. Tapi aku rasa luar dari yang biasa.Tiba - tiba.

Selamat Ulang Tahun Kelahiran.

Juwairiyah.

Kawan sekuliah.Kawan satu sampan.Kawan yang aku suka.

Maaf yang banyak.
Banyak yang terabai.Banyak yang diabai.Banyak yang sakit dari kisah.
Banyak dan banyak.

Kalau kau anggap itu lumrah.Dan pasti aku anggap itu anugerah ;

Yang sekali kawan.

Apapun jadi.

Tetap kawan.

Doa kau panjang umur, dimurahkan rezeki, ditetapkan iman untuk hidup yang di depan.

Jadi yang terpaling hebat.

Kawan.







9.1.12

tanya aku jawab aku

Sejak dua menjak tiga menjak ni.
Picisan - picisan kau berbau kesedihan dan berbaur kesedihan.
Empat menjak pun.
Sedih.

Kenapa kau ni?

Ada hal dengan Tuhan.

Boleh jawab macam ni?
Kalau tak boleh, aku takda jawapan lain.

Tak payah fikir sangat la.

Manusia dengan manusia boleh.
Tuhan.Susah sikit.

Sebab aku percaya.
Sebab aku nak Tuhan sayang aku lebih dari manusia sayang aku.
Sebab aku nak Tuhan sayang aku selalu.

Tak percaya tanya mereka - mereka yang percaya.

Jawapan mesti sama.

Kalau lain.

Rambut kan sama hitam.





p/s : Tetapkan aku dengan percaya ini.

 Demokrasi berbunyi lagi ; ABU 901




8.1.12

taknak kau jadi macam acik

Duduk - duduk malas sementara menunggu waktu sujud terakhir.
Sambil melayan karenah anak buah.Sambil mengalun bait - bait sastera agung Dia kepada dia.

Dan terbit satu fikir dan rasa
Kesian kau Umai.
Macam mana persekitaran hidup kau agaknya bila besar nanti.
Yang sekarang ni pun sudah bagi aku cukup dahsyat.Cukup banyak terpalit rasa palat.
Menghadap guna yang senipis ini dengan serangan yang maha lahanat ; Luar dan dalam.

Ada satu masa utuh.
Ada satu masa longlai.

Berbolak  -  balik.
Moga kau kuat.Pegang dan hayati "buku" ini rapat - rapat.Dekat - dekat.Kau pasti selamat. Jangan jadi macam Acik, alunan hanya pada mulut tapi hati ;  mengagung lunakan dunia.
Bisikan untuk dia juga doa untuk dia.

Bila kau besar dan Acik masih ada.

Acik pasti jaga.

Taknak kau jadi macam Acik.








p/s:

Cakap - cakap tepi.

Islam adalah Agama dan Politik.
Agama adalah agama. Politik adalah politik = Sekular.

Diam ah Taq!

Aku bukan yang suka menyalak.Aku bukan yang layak.Tapi asbab sealiran agama.Aku belajar menegur.Selemah - lemah dan semampu.Ini yang termampu.

Maafkan aku.


cuba lari selaju

Aku cuba lari.Selaju  macam dalam dunia realiti yang aku boleh berlari.

Tapi sampai bila selamanya mahu berlari.
Ada masa mahu melepas lelah.Ada waktu mahu duduk bersinggah.

Berlari - lari anak.
Berjalan setapak.
Dan terduduk lemah.

Dan mereka ; fikiran - fikiran yang buat hati ini gusar dan gundah datang waktu sedang lemah.

Asbab berlari.

Cakap memang mudah.
Lupakan dan teruskan melangkah.

Dalam keadaan sebegini lemah?
Hanya melayan mereka - mereka menyakat.

Kau celaka.Kau bangsat.Kau lahanat.Kau pergi mati.Lagi elok.Dari hidup membuat onar.

Aku telan semua bulat - bulat.Cuba meludah tapi tak cukup daya.Menjiwai kesakitan hasil pencernaan kata - kata kesat.

Padan muka.Sepadan dengan muka.

Aku terima.
Kalau kehidupan ini mengajar.

Dan aku minta satu.

Jangan digoyah dan diambil yakin dan percaya ini ; Tuhan Yang Satu.





p/s : "Benarlah tiada, bahagia tanpa iman" - Tragedi Diana.

berat dan apa yang berat

Apa maksud nama kamu?
Pertanyaan - pertanyaan selalu dari mereka yang bergelar ibu.

Dan reaksi kepada jawapan aku.
Berat nama kamu ni.

Dulu aku kurang faham dengan  reaksi mereka kepada jawapan .

Berat.Apa yang berat?


Sekarang.Aku faham.

Bila maksud dikaitkan langsung dengan laku.
Dan aku ini jauh dengan maksud nama.Jauh macam langit dan bumi.

Nama tak seindah perlakuan.
Atau macam ayat.

Indah khabar dari rupa.

Makin palat kau ni Taq.

Monolog sendiri dan ya aku sedar.Dan aku juga sedih.Seumur hidup 24 tahun aku.Saat dan rasa sekarang ini paling sedih.

Apa aku nak buat?

Tukar nama.







p/s : Tak mampu untuk hidup.Tapi takut mati sebegini.

Masihkah ada ruang?Kalau tiada.Liang pun memadai.Aku tak layak meminta.Tapi tetap mahu ; Maaf dari noda yang selalu.

Kasihani aku, Tuhan.

4.1.12

tempat letak gembira

Kegembiraan.
Usah diletak pada manusia.Selalu dari manusia.

Sebab manusia berubah.

Sekali air  bah.Sekali pantai berubah.


Sekali.
Kalau berkali - kali?

Cukuplah.
Gembira ada kehidupan.Dan letak harapan ; Pada Yang Memberi Kehidupan.

Pandang depan.Dan tinggal mana - mana yang tak padan.

Senangkan perjalanan.




kadang - kadang kenapa

Kadang - kadang aku senyap.
Bukan terus senyap.

Bagi ruang dengan harapan ; Satu hari ia akan berbunyi.

Dan mengharap bunyi itu jawapan.Tapi bukan.

Aku tunggu lagi.Senyap lagi.

Kadang - kadang kotak suara ini bersuara.Menyuarakan tentang sebuah kesenyapan dulu.

Bukan tak sabar.Takut ia mati sebab sepi.
Tapi bila memecah sepi.Jawapan itu lagi sepi.

Kadang - kadang sangsi itu bermonolog.

Aku hidup dengan menjawab persoalan dan ditinggal selalu persoalan - persoalan ; Kenapa?

Kenapa.









1.1.12

manusia yang aku suka dan buat suka

Mak dan kakak - kakak kata.

Aku dan dia ada persamaan ; waktu kecil.

"Macam Taqi kecik - kecik dulu.Patutlah suka kat Taqi"


Apa yang sama?

Lelaki , perwatakan dan rambut.

Dan akan sama Kacak bila besar nanti.

Rasa dunia dan seisinya.Senyap.

Selamat ulang tahun kelahiran ; Yang pertama.

Mush'ab Umair ; Syuhada Si Pemegang Bendera.

Bukan makna.Tapi cerita sebalik nama.








p/s : Dia pembangkit rasa bahagia dan tenang sebab tiada dosa untuk manusia penuh dosa ; Aku.

Selamat Tahun Baru.


Dan.


Selamat Pengantin Baru.


Dr. Naguib Rais ; Teman sebilik dulu - dulu.
Moga bahagia hingga waktu akhir.Doa redha Dia selalu dan sepanjang kehidupan kalian.